MELAKA 13 Jun – Orang ramai dan syarikat-syarikat tempatan diseru mendaftarkan produk serta reka cipta mereka sebagai harta intelek bagi mengelak diciplak pihak tidak bertanggungjawab demi ingin mengaut keuntungan.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Hasan Malek berkata, tahap kesedaran masyarakat dan syarikat tempatan terhadap permohonan pendaftaran bagi komponen harta intelek dengan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) masih lagi rendah.
Menurutnya, walaupun permohonan pendaftaran menunjukkan peningkatan khususnya pada 2012 dengan 40,985 diterima berbanding 37,263 (2011) dan mencatat pertumbuhan sebanyak 9.5 peratus, namun sebahagian besar didominasi oleh negara asing seperti Amerika Syarikat (AS), Jepun dan Eropah.
”Masyarakat harus sedar harta yang mereka hasilkan perlu dilindungi dan kita kena lihat bagaimana orang dari luar negara memfailkan produk dengan MyIPO sebanyak 80 peratus berbanding 20 peratus oleh rakyat serta syarikat tempatan.
”Justeru, saya menyeru lebih ramai rakyat Malaysia memfailkan hasil produk dan ciptaan mereka dengan MyIPO,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Hari Harta Intelek Negara 2013 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh di sini hari ini.
Yang turut hadir Ketua Menteri, Datuk Idris Haron; Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Penggunaan, Datuk Ahmad Bashah Md. Hanipah; Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Perpaduan, Hal Ehwal Pengguna dan Koperasi negeri, Datuk Latiff Tamby Chik dan Ketua Pengarah MyIPO, Datuk Azizan Mohamad Sidin.
Pada majlis sama, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dianugerahkan Harta Intelek Negara buat kali keempat sejak 2006, sekali gus menerima hadiah RM30,000.
Sehubungan itu, Hasan berkata, kerajaan melalui MyIPO akan terus mengerakkan usaha untuk memberi kesedaran kepada semua pihak tentang pentingnya sesuatu produk dan reka cipta dipatenkan.
Menurutnya, langkah itu perlu kerana akan membawa kerugian bukan sahaja kepada pengusaha terbabit, malah ekonomi negara kerana produk serta reka cipta boleh ditiru pihak luar.
Selain itu katanya, usaha Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) menjadikan bidang harta intelek sebagai subjek elektif secara tidak langsung membantu usaha meningkatkan kesedaran dalam kalangan rakyat.
Justeru, beliau turut menyarankan Melaka sebagai negeri contoh untuk mendaftarkan produk utama negeri itu seperti cencaluk, belacan, dodol, gula Melaka, kebaya nyonya dan beca.
Sumber: Utusan Malaysia