SKUDAI – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) memperkenalkan sistem pemprosesan ayam halal automatik (Sycut) bagi mengesan status halal atau tidak halal dalam penyembelihan ayam secara automatik semalam.
Ketua Penyelidiknya, Prof. Datin Dr. Rubiyah Yusof berkata, inovasi berkenaan merupakan inisiatif terbaharu untuk mengesan ayam yang disembelih itu halal atau sebaliknya sebelum dipasarkan.
“Sistem yang dikenali Sycut ini dilengkapi dengan kamera yang berfungsi untuk mengesan kesan sembelihan pada ayam sama ada ayam tersebut disembelih mengikut hukum syarak atau tidak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar memperkenalkna sistem Syariah -Compliant Automated Chicken Processing System di bangunan Canseleri Sultan Ibrahim, UTM sebentar tadi.
Menurutnya, sistem yang mesra pengguna ini berasaskan sistem jaringan web untuk mengawal dan memantau proses penyembelihan yang bersambung terus kepada sistem data dengan akses internet.
“Sekiranya ayam tersebut tidak betul cara penyembelihannya atau tidak menepati hukumnya iaitu memutuskan halqum dan esofagus di leher ayam tersebut, maka lampu merah akan menyala pada sistem atau mesin tersebut,” katanya. – KOSMO!